ZIKIR SECARA NYARING


Sesungguhnya berzikir kepada Allah SWT merupakan sebaik-baik ibadat kerana Allah SWT menjadikan ibadah-ibadah yang lain mempunyai kadar dan had serta mempunyai waktu dan keadaan yang tertentu. Tetapi berlainan dengan zikir, Allah SWT tidak menjadikan ibadah zikir itu terhad dan berwaktu bahkan menyuruh supaya memperbanyakkan amalan tersebut berdasarkan firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya” (Al-Ahzab : 41).

Ketahuilah bahawa sesungguhnya berzikir kepada Allah merupakan sebaik-baik ibadah, sebesar-besar ketaatan dan sebenar-benar tanda penghambaan diri kepada Pencipta bumi dan langit, sama ada berzikir secara senyap atau pun nyaring, sama ada secara berseorangan atau berkumpulan, sama ada di masjid atau pun di tempat yang lain, sama ada selepas solat atau pun pada waktu-waktu yang lain.

Jika dikaji dan diperhati, terdapat ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW serta kata-kata para sahabat yang tidak terbilang banyaknya memberikan bayangan berkenaan dengan kelebihan berzikir, besarnya ganjaran pahalanya dan galakan untuk sentiasa melazimi ibadah tersebut.

ZIKIR SECARA NYARING

Sebagaimana ibadah zikir boleh dilakukan secara diam, ianya juga boleh dilakukan secara nyaring. Kedua-duanya mempunyai fadhilat dan kelebihan yang tersendiri. Kelebihan berzikir secara nyaring adalah lebih banyak dan ia merupakan asas kepada syiar-syiar Islam. Sebagaimana disyariatkan azan, iqamat, takbir ketika solat, bertalbiah ketika melakukan rukun-rukun haji, bacaan al-Quran secara nyaring ketika solat Subuh, Maghrib dan Isyak, bertasbih dan bertahlil dengan nyaring ketika di pagi hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha. Semua ini adalah amalan yang dilakukan pada zaman Nabi SAW dan para Sahabat serta Tabiin.


Berzikir secara nyaring merupakan salah satu medium untuk menarik orang ramai untuk turut sama berzikir dengan syarat tidak berlebih-lebih padanya sepertimana firman Allah SWT: Maksudnya: dan janganlah engkau nyaringkan bacaan doa atau sembahyangmu, juga janganlah engkau perlahankannya, dan gunakanlah sahaja satu cara yang sederhana antara itu. {al-Isra': 110}

Besederhana ketika melakukan satu-satu perkara merupakan suatu yang dituntut dalam Islam dan ia merupakan jalan untuk beristiqamah.

Berzikir secara nyaring terdapat kelebihan tersendiri berbanding secara zikir secara diam seperti yang ditunjukkan di dalam hadis Muaz bin Anas RA: Firman Allah SWT dalam hadis al-Qudsi: Tidaklah seorang hamba itu mengingati-Ku melainkan Aku akan mengingatinya, tidaklah seorang hamba itu mengingati-Ku pada berkumpulan melainkan Aku akan mengingatinya pada kumpulan yang lebih tinggi. (Riwayat oleh At-Tabrani).

Hadis Ibnu Abbas RA: Firman Allah Taala: Wahai anak Adam, sekiranya kamu mengingati-Ku dalam keadaan sunyi, maka Aku akan mengingatimu dalam keadaan sunyi, sekiranya kamu mengingati-Ku dalam keadaan berkumpulan (orang ramai), maka Aku akan mengingatimu dalam keadaan orang ramai yang lebih baik daripada kumpulan yang engkau mengingati-Ku di dalamnya. (Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dengan sanad yang sahih)

Berzikir beramai-ramai adalah zikir secara nyaring. Mereka yang zikir secara nyaring diganjari dengan kelebihan yang agung dan kebaikan yang banyak.

BERKUMPUL UNTUK BERZIKIR

Sepertimana diharuskan zikir ketika berseorangan, diharuskan juga berzikir ketika berkumpulan bahkan amalan ini adalah lebih afdal dan lebih baik.

Daripada Mu'awiyah RA: Sesungguhnya Rasulullah SAW pergi kepada satu halakah di kalangan sahabat beliau lalu bersabda: Apa yang menyebabkan kalian duduk beramai-ramai? Para sahabat menjawab: Kami berzikir serta memuji Allah di atas petunjuk-Nya kepada Islam dan menganugerahkan kami dengan nikmat itu. Nabi berkata: Demi Allah, kalian tidak berkumpul kecuali dengan tujuan itu. Jawab sahabat: Demi Allah, kami tidak berkumpul kecuali atas tujuan itu. Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya aku tidak meminta kalian untuk bersumpah kerana ia akan membebankan kalian, akan tetapi Jibrail datang menemuiku dan menyampaikan bahawa Allah membanggakan kalian kepada para Malaikat. (Riwayat Muslim, Tarmizi dan Nasaie).

Daripada Abu Hurairah RA dan Abu Said Al-Khudri RA: Sesungguhnya kedua-duanya bersaksi bahawa Nabi SAW bersabda: Tidaklah suatu kaum itu duduk dan beramai-ramai berzikir kepada Allah SWT melainkan ia akan dikelilingi oleh para malaikat dan akan dilimpahi rahmat serta akan diberikan ketenangan dan Allah akan menyebut mereka di hadapan makhluk di sampingnya (Malaikat). (Riwayat oleh Muslim)

Hadis di atas memberikan penjelasan berkenaan dengan kelebihan berzikir secara berjemaah sama ada berzikir di masjid-masjid atau di tempat yang lain. Kelompok tersebut tidak akan mencelakakan individu yang menyertai mereka. Berzikir secara berkumpulan memberikan lebih kekuatan, semangat, cergas dan berkat berbanding zikir secara berseorangan sebagaimana zahir yang dilihat.

ZIKIR SECARA NYARING DI DALAM MASJID

Daripada Thabit berkata: Salman RA berzikir kepada Allah secara berjemaah (di dalam masjid), kemudian Nabi SAW melintasi jemaah atau kumpulan tersebut lalu mereka berhenti berzikir. Baginda bersabda: Apa yang kalian semua ucapkan? Salman menjawab: Kami berzikir kepada Allah SWT. Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya aku nampak rahmat mencurah-curah ke atas kamu sekalian dan aku juga ingin untuk bersama-sama dengan kamu semua berzikir. Kemudian Nabi SAW bersabda kembali: Segala puji bagi yang menjadikan umat-ku dari kelompok yang diminta aku duduk bersama mereka. (Riwayat oleh Imam Ahmad pada bab zuhud)

Zikir yang dimaksudkan di atas adalah zikir secara nyaring berdasarkan petikan dari hadis “lalu mereka berhenti berzikir” dan pertanyaan Nabi “apa yang kamu semua ucapkan”. Sesungguhnya Nabi SAW mengiktiraf dengan apa yang mereka ucapkan bahkan memuji terhadap amalan tersebut. Maka yang demikian itu memberi penjelasan bahawa disyariatkan zikir secara nyaring di dalam masjid serta memperoleh fadilat dan kelebihan yang besar.

KESIMPULAN

Walaupun berzikir secara nyaring di dalam masjid adalah harus, hukum tersebut terikat dengan beberapa keadaan iaitu hendaklah zikir tersebut tidak mengganggu orang yang sedang solat di dalamnya terutamanya solat fardu berdasarkan hadis Nabi SAW: Janganlah sesekali orang yang membaca al-Quran itu mengganggu orang yang solat (dengan bacaannya). Orang yang membaca al-Quran adalah sama dengan orang yang berzikir. Sekiranya zikir tersebut tidak mengganggu orang yang solat sebagai contoh jauh tempat zikir tersebut dari orang yang solat atau kerana menyederhanakan suara atau seumpamanya maka hukum berzikir secara nyaring adalah harus.

Kelebihan berzikir secara nyaring tidaklah terikat dengan waktu yang tertentu. Waktu selepas solat juga termasuk di antara waktunya, maka harus berzikir selepas solat, seperti mana disebutkan di dalam hadis riwayat oleh Ibnu Abbas RA berkata: Adapun menyaringkan suara dengan berzikir kepada Allah tatkala manusia bersurai daripada solat fardu itu berlaku di zaman Nabi SAW. Beliau juga berkata: Sesungguhnya aku mengetahui mereka semua bersurai dari solat dengan cara yang demikian sekiranya aku mendengarnya. Maka yang demikian merupakan dalil disyariatkan serta fadilat berzikir secara nyaring.

Amalan yang demikian mempunyai faedah yang besar; Antara kelebihan yang utama adalah melembutkan hati dan menarik diri untuk mengingati Allah dan nikmat-nikmat-Nya. Ia juga melahirkan penghambaan serta merasa khusyuk selepas bermunajat ketika solat dan selepas memohon kepada Allah. Kesemuanya ini dituntut oleh syarak.

Maka bersungguh-sungguhlah berzikir selepas daripada solat fardu. Tidak ada yang mampu menghalangi disebabkan sekelompok yang mengharamkannya. Berwaspadalah dari mengharamkan diri kamu dengan pahala ketaatan ini dan kelebihan yang diharapkan. Allah tidak pernah mensia-siakan amalan mereka yang melakukannya. Setiap amalan disertakan dengan niat dan amalan setiap individu adalah dengan apa yang diniatkannya.


Disediakan oleh:
Muhammad Shahrizan bin Mohd. Hazime
Kuliyah Syariah Islamiyah,
Universiti Al-Azhar As-Syarif,
Kaherah, Mesir.


comment 0 comments:

Post a Comment

 
© ALKUTUBI | Design by Blog template in collaboration with Concert Tickets, and Menopause symptoms
Powered by Blogger